Saturday, 9 March 2013

Selepas Kelahiran BJKB #5


Khas untuk Buku Jalanan Kota Bharu 
oleh: Fatin Awanis 


Buku Jalanan (BJ) : Dengan sikap ingin tahu juga yang sentiasa mencari kerja sukarela, saya didedahkan dengan Buku Jalanan Titiwangsa sebagai Buku Jalanan yang pertama saya jumpa, dan dari situ juga saya mengenali insan-insan yang berjiwa besar yang sentiasa mahu memberi biarpun mereka masih muda. Seterusnya saya ke Buku Jalanan Shah Alam bersama jiwa yang masih sama, saya bertemu penggerak pertama buku jalanan di seluruh dunia. Sebagai pencandu buku, saya suka bila berkongsi apa saja yang saya baca dengan orang ramai, justeru itu, saya menambah "senarai-perkara-yang-perlu-dilakukan-sebelum 25 tahun" dengan Buku Jalanan. Pertengahan 2012, apabila keluarga memutuskan untuk tinggal di Kelantan, saya menggunakan peluang ini untuk merealisasikan apa yang saya mahu dan apa yang rakyat perlu. Menolak ketepi soal berapa usia saya juga berapa banyak pengalaman yang ada, dan ditambah pula dengan bantuan rakan-rakan yang setia, kami meneruskan usaha kami tanpa mengambil kira kekangan yang mendatang. Bagi saya, jika mahu ia berlangsung, langsungkan. Masalah yang mendatang, biarkan mendatang. Bukan namanya kehidupan kalau tiada masalah bukan ? Dengan menggunakan buku simpanan peribadi juga beberapa kotak buku pemberian orang ramai, kami nekad membentang tikar di Taman Tengku Anis. Syukur, acara pertama berjaya menarik perhatian ramai setelah medium Twitter dan Facebook digunakan. Pada acara pertama juga, saya dipertemukan dengan seseorang yang boleh dipanggil otai aktivi subkultur di Kelantan. Begitu juga dengan para mahasiswa muda dari USM, hanya beberapa minit pengenalan, mereka sudi untuk meneruskan aktiviti BJKB ini dimasa hadapan. Konsep yang saya kenalkan cukup mudah; dari rakyat untuk rakyat dan juga tanpa birokrasi. Kerana itulah, BJKB adalah milik semua. Saya tidak langsung meletakkan BJKB ini milik saya sepenuhnya hanya kerana saya yang memulakannya di Kelantan, tidak, BJKB adalah milik semua. Kerna itu, penggerak BJKB boleh jadi sesiapa saja. Yang faham erti keperluan manusia, yang tahu erti cinta pada amalan membaca juga yang begitu kasih pada buku. Dan dengan ini, BJKB membuka peluang untuk anak muda atau sesiapa sahaja terlibat dengan aktivi sukarela. Jelas, BJKB merupakan medium untuk semua mengekspresikan segala hasil seni yang kalian ada. Secara percuma juga tanpa birokrasi. Acara seterusnya tumbuh dengan jayanya. Ditambah lagi dengan penggunaan HotFM Cakna Kelate sebagai medium hebahan, BJKB terus disambut rakyat dengan hati terbuka. Acara demi acara, saya yang berada jauh dari mereka sentiasa menerima ratusan tahniah juga kata-kata semangat dari penggerak Buku Jalanan seluruh dunia kerana telah menghidupkan BJKB dengan jayanya. Ini tidak bukan adalah kerana usaha dan semangat para aktivis yang setia di Kelantan. Dan yang paling mengejutkan saya, para aktivis bukanlah semuanya berasal dari negeri Kelantan, tetapi dari seluruh Malaysia; Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Johor. Mereka merupakan rakyat Kelantan sementara tapi begitu cakna pada perkembangan negeri Kelantan. Jujurnya, sampai saat ini, saya tidak pernah bersua muka dengan penggerak BJKB selepas acara sulung BJKB. Tetapi dengan kepercayaan juga rasa cinta, kami berhubungan melalui Facebook juga telefon. Perbincangan demi perbincangan telah kami lalui, semuanya demi mengukuhkan lagi BJKB. Dan rasanya untuk saya anggap para penggerak BJKB sebagai keluarga adalah tidak keterlaluan bukan ? Dan antara soalan yang sering saya terima adalah ; " Apa yang kalian dapat dari BJKB ?". Jawapan ada pada diri penggerak masing-masing. Banyak yang saya mahu tulis tentang BJKB, tapi biarlah jadi simpanan peribadi saya yang seterusnya. Untuk kalian yang sudi menggerakkan BJKB, jangan lah anggap BJKB sebagai beban, tapi anggaplah ia suatu keperluan untuk perlu dilangsungkan.
Terima kasih dan berbahagialah. :) "

No comments:

Post a Comment